Monday, December 21, 2015

Umrah bersama keluarga Disember 2014 - 1

Catatan Umrah keluarga pada 21/12/2014 - 3/1/2015.

Catatan ini terhenti beberapa kali sebelum dapat disiapkan. Hampir setahun tertangguh ni. Mungkin ceritanya tidak begitu mengikut flow tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk mengingati semuanya, moga akan datang bila dibaca kembali, ia boleh mengimbau kenangan umrah bersama keluarga tersayang. Kenangan inilah yang akan memugar rasa kasih dan sayang.

Alhamdulillah Allah makbulkan hajat kami untuk menunaikan umrah pada cuti sekolah tahun lepas bersama ahli keluarga seramai 16 orang. Termasuklah kedua ibubapa kami, anak-anak, adik-adik ipar dan 2 orang anak saudara. Nikmat Allah ni banyak dan tak terhitung sebenarnya. Betullah kata orang, jika inginkan sesuatu maka niat dan berusahalah. InshaAllah jika dengan izinNya ia pasti berlaku. Pada awal Disember, kami dimaklumkan tiada pakej yang masih ada untuk kumpulan kami walaupun sebenarnya kami sudah membuat tempahan seawal bulan Mac lagi. Mungkin sebab jumlah ahli rombongan yang ramai. Masing-masing dah frust tapi saya menganggap soal dapat pergi umrah ni seperti jemputan khas daripada Allah. Kalau ditakdirkan memang bukan rezeki kita, maka memang tak dapat pergi. Doa tak pernah putus moga masih ada rezeki kami dan jika tiada sekalipun, lapangkanlah hati kami menerima keputusan ini. Alhamdulillah Allah terima doa kami.

Kali ini, saya sedang mengandung empat bulan lebih dan membawa bersama tiga lagi anak-anak kami, Aisyah, 8 dan Khadijah, 6 serta Adam pada tahun lepas. Ini pengalaman kedua kami dan Aisyah serta Khadijah menunaikan umrah. Saya bersyukur sangat kerana Allah pelihara saya dan berikan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan umrah ini. Hanya padaNya sahajalah kita sandarkan semuanya. JIka diikutkan, saya memang agak kurang sihat sepanjang mengandung kali ini, selera makan yang hilang, cramp pada perut sehingga doktor pakar bekalkan ubat kuat rahim dan mengambil injection sebelum ke sana. Tapi saya suka pada doktor pakar tersebut, dia dengan yakinnya pesan tawakal dan minta doa pada Allah. Dia lah yang maha berkuasa di atas segalanya. Dan saya memang niat untuk maksimumkan ibadat yang boleh saya buat terutamanya solat di masjidil haram dan masjid nabawi. Biarpun saya tidak dapat solat di masjid setiap waktu kerana bergilir menjaga anak, tapi saya yakin, Allah pasti akan ganjari semuanya.

Semasa saya menunaikan umrah pada tahun 2011 dahulu, saya tidak sempat masuk ke Raudhah kerana uzur. Dengan sebab itu, kali ini saya sangat bersemangat dan teruja untuk solat di Raudhah. Allah makbulkan. Alhamdulillah. Sampaikan saya hilang kata bila berada di sana. Mudah rupanya jika kita sabar dan tawakal. Menghabiskan masa berjalan bersama ibu saya di usia sebegini adalah suatu yang indah dan manis untuk dikenang. Madinah kala ini memang sejuk cuacanya. Angin nya kuat dan sejuk. Saya capture moment berulang alik ke masjid nabawi ini dalam ingatan saya. Terima kasih mak dan abah sebab sentiasa bersama saya sehingga ke hari ini.

Anak-anak juga baik-baik sahaja biarpun ada kalanya terlebih gula dan aktif juga :)
Kekadang Aisyah dan Khadijah ikut atuk dan makcik-makciknya. Adam sepanjang masa dengan abahnya. Suasana damai Madinah memang sering dirindui berbanding sibuk dan pantasnya seolah-olah mengejar waktu di Makkah. Kali ini, hotel kami menginap di Makkah agak jauh dan berbukit hampir 45 darjah. Inilah rezeki kami biarpun kita sudah mohon untuk hotel berdekatan memandangkan abah saya yang kurang sihat (lututnya sakit) dan keadaan saya yang mengandung. Namun perancangan Allah itu tiada siapa tahu. Mula-mula memang penat mendaki dan menuju ke masjid dengan asap dan habuk. Masjidilharam masih lagi dalam pembinaan tika ini. Bayangkanlah berselisih dan berasak berulang alik dengan membawa anak-anak kecil dan orang tua. Masa mula-mula sampai untuk menunaikan umrah pertama, kami terpisah daripada kumpulan kami. Tetapi kami kata tidak mengapalah sebab kami pernah datang sebelum ini jadi takpelah kita perlahan-lahan. Dengan penat 6 jam perjalanan belum hilang, kita mulakan perjalanan menuju Kaabah dan akhirnya selesai hampir jam 3 pagi menjelang subuh. Rupa-rupanya ruang solat masjidilharam juga sudah berubah kerana pembinaan maka berpusing jugalah kami mencari pintu masuk terdekat dan laluan terdekat ke Kaabah di samping cuba mengingat jalan keluar masuk dari masjidil haram.

Keseluruhannya, perjalanan umrah kali ini berlangsung dengan sangat baik. Alhamdulillah ya Allah kerana permudahkan urusan umrah kami. Ianya sangat bermakna kerana kami dapat pergi bersama ibubapa saya dan mertua, anak-anak dan ALhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Sebenarnya tiada kata melainkan syukur sahaja mampu diucapkan.


Wednesday, November 11, 2015

Inilah Hannah

Baby Hannah dah umur 6 bulan lebih dah. Tak sempat umminya nak share pasal Hannah ni. Baru mula makan puree carrot semalam sebab umminya baru ada masa nak membuatnya. Tapi Alhamdulillah Hannah ni baik sungguh sejak lahir lagi. Terima kasih dik sebab memahami kesibukan dan kekalutan ummi sekarang.

Hari ni datang lab tengok cells almost dead. Tak tahu apa berlaku. Makanya adalah masa nak buka blog. Hajat dihati nak siapkan buat progress report dan submit. Kan ada yang tak dapat increment tahun depan ni asyik bertangguh je buat. Dan jika ada masa nak cari blog review pasal trip ke Perth nanti. 

Ok meh ummi belanja gambar Hannah sekeping. Gambar passport ni.

Hannah@5months



Monday, October 5, 2015

Tahun akhir PhD

Tahun akhir PhD.
Sekejap sungguh masa berlalu. 
Masih struggling. Betullah banyak kata mereka yang pernah melaluinya. 
Perjalanan PhD ini bukan setakat belajar itu sahaja tetapi menuntut banyak pengorbanan dan disiplin.
Banyak ujian, halangan, kekangan yang dihadapi namun hati harus terus utuh untuk menamatkannya.
Masih belum nampak pengakhirannya namun jiwa tetap bersemangat dan cekal dengan pilihan ini.

Semoga Allah permudahkan baki masa yang ada sebelum kembali bertugas untuk menyiapkan semua kerja makmal seperti yang disyaratkan.

Allahumma Amin.


Wednesday, June 24, 2015

Cahaya hati ke-4

Alhamdulillah pada 30 April 2015, saya telah selamat melahirkan anakanda keempat kami, bayi perempuan pada jam 5.45pm seberat 2.7kg. Hari ini dah hari ke 55. Sekejap sahaja masa berlalu kan. Bersalin kali ini sangat berbeza daripada sebelumnya. Alhamdulillah Allah masih panjangkan umur untuk terus mengabdi diri padaNya, berpeluang menjaga sikecil ini dan bermuhasabah diri.

Nanti saya kongsikan pengalaman bersalin kali ini. Ia seolah diberi kehidupan buat kali kedua.

Nikmat mana lagi yang ingin kau dustakan..


Monday, May 25, 2015

Bersyukurlah..

Assalamualaikum wbt

Allah tidak jadikan sesuatu perkara itu tanpa hikmahNya. Kerana setiap yang berlaku itu pasti dalam pengetahuanNya dan aturanNya. Dia Maha Mengetahui sedang kita sering lalai, leka dan mempersoalkan setiap apa yang terjadi. 

Terima kasih Allah kerana panjangkan usiaku, moga dengan kesempatan ini membuatkan diriku lebih dekat padaMu. Bermuhasabah mengingat banyaknya dosa-dosaku, sering lalai dengan urusan duniawi semata. Semoga Engkau ampunkan dosa hambaMu ini. 

Terima kasih kerana memberi kesempatan menatap wajah anak yang dilahirkan. Aku yakin ada hikmahnya di sebalik ketentuan ini dan yang paling penting, amanahMu untuk membesarkan 4 orang anak ini harus kulakukan sebaik mungkin. 

Terima kasih Allah di atas segalaNya, di setiap nafas yang dihirup, di setiap rezeki yang Engkau beri, di setiap ujian susah yang akhirnya menginsafkan diri untuk kembali kepadaMu.

Aku hanya hamba yang berkelana.


Friday, January 16, 2015

Sudah 2015

Assalamualaikum wbt

Memang lama sungguh tak kemaskini blog ini. Entah masih ada atau tiada pengunjungnya.
Tahun baru menjengah sudah. Sudah separuh bulan pertama. Pantas benar masa berlalu. Anak-anakpun semakin membesar. Aisyah sudah di darjah tiga. Khadijah mula tahun 1 dan Adam terpaksa membiasakan diri di taska baru nya. Tak lama lagi akan bertambah lagi ahli keluarga. ALhamdulillah syukur atas segala nikmatNya. PhD ummi masih berbaki lagi hampir 2 tahun. Belum banyak progress buat masa ini tapi we are struggling for it everyday. Doakan saya dapat habiskan PhD ini dengan jayanya ya.

Tampal gambar anak-anak lah dulu ya. Inipun copy dari fb sahaja. Nanti lain kali saya update cerita pengalaman kami bawa anak-anak umrah bersama. Ternyata berbeza dengan pengalaman dahulu.


Aisyah. 
Khadijah

Adam
InshaAllah ketemu lagi.